Kucing di sekitar Makam Sultan Fatih
Makam Sultan Fatih
Kami kemudiannya melawat ke beberapa tempat di mana saudara Faiz Ali
menuntut Ilmu, seronok perasaan aku sehinggakan aku bercita-cita untuk
belajar di Istanbul. Di antaranya tempat dia belajar bahasa Turki
dahulu. Cuaca pada hari ini sangat panas, dan teh menjadi pengubat
dahaga. Selepas minum teh, kami pun bergerak ke Dolmabahçe yang terletak
berhampiran dengan stesen terakhir tram iaitu di Kabatash, dan juga
Masjid Dolmabahçe merentasi Golden Horn. Kami solat di
MasjidDolmabahçe sebelum ke Istana tersebut. Selesai solat kami menuju
ke Istana tersebut yang tidak jauh dari masjid. Harga masuk ialah 1
Lira jika anda menunjukkan kad pelajar dan 20 Lira jika tanpa kad
pelajar. Akashah terlupa bawa kad pelajar dan Faiz pula hilang kad
pelajar bersama dompet, jadi aku bagi cadangan untuk tunjukkan visa
Pelajar UK, sebabnya ada tertera perkataan (Student), jadi dapatlah
masuk dengan harga 1 Lira.
Istana Dolmabahce
Pintu pagar di sebelah kiri pintu masuk ke Istana Dolmabahçe
Istana ini dibina pada tahun 1843 dan mengambil masa 13 tahun untuk
siap. Istana ini menekankan konsep simetri. Semasa aku berada di
dalamnya di ruangan tengah, aku dapat lihat susunan perabot kiri dan
kana adalah sama. Sebelum Istana Dolmabahçe dibina sultan dan keluarga
sultan tinggal di Istana Topkapı yang binaannya tidaklah semewah
Istana Dolmabahçe.
Menara Jam Istana Dolmabahçe
Pintu masuk utama ke Istana Dolmabahçe dikawal oleh tentera
Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam Istana Dolmabahçe, terserlah
keindahannya,memang sangat Indah dan sangat mewah istana yang dibina
atas arahan Sultan Abdul Majid ini. Di dalam Istana ini terdapat
permaidani buatan Turki yang sangat mahal sehinggakan kalau dijual
boleh buat 3 buah rumah Banglow. Selain itu terdapat Chandelier yang
terbesar ketika itu dengan berat 4.5 tan, memerlukan masa selama satu
bulan untuk diselenggara. Lampu Chandalier terbesar itu dibiarkan
tertutup untuk mengelakkan kerosakkan mentol, dan jika mentol atau wayar
pada Chandalier tersebut rosak ia akan memakan masa yang lama untuk
diperbaiki, memang besar. Lampunya hanya dibuka jika ada lawatan
orang-orang kenamaan sahaja. Chandalier tersebut bukanya semata-mata
digantung pada syiling kubah, tetapi ianya memerlukan tiang untuk
menampung berat chandalier tersebut.
Mewah. Chandalier yang terbesar pada ketika itu seberat 4.5 tan.
Istana ini terlalu mewah sehinggakan cermin dibingkaikan dengan emas
permata, tiang-tiang tangga diperbuat daripada kristal, namun tidak
menampakkan ciri-ciri binaan Islam kerana terdapat hiasan patung-patung
binatang dan lukisan manusia. Semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid
II, beliau tidak sanggup untuk tinggal di Istana Dolmabahçe, kerana
baginda tidak suka akan kemewahan. Tetapi selepas kejatuhan Khalifah
Islam, Istana Dolmabahce menjadi kediaman Mustafa Kamal Ataturk, dan
lif yang dibina di dalam istana tersebut adalah untuk kengunaannya
ketika dia sakit.
Hagia Sophia
Masjid Hagia Sophia kini menjadi muzium
Setelah berehat hampir 4 jam, kami bersiap-siap untuk ke Hagia
Sophia serta tempat-tempat lain yang mungkin sempat kami lawati. Dari
jauh aku dapat melihat Hagia Sophia, yang sebelum ini aku dengar
kisahnya dari rakan-rakan yang pernah melawat Istanbul, namun kini
langkah demi langkah aku menghampirinya. Aku terfikir bagaimana
keadaan di dalam sebuah bangunan bersejarah itu. Hagia Sophia merupakan
simbol keagungan Empayar Byzantine semasa Istanbul dikenali sebagai
Kontantinople dahulu.
Tinggalan semasa Hagia Sofia belum menjadi masjid dapat dilihat.
Tinggalan lama sebelum Hagia Sofia menjadi masjid
Mihrab masjid yang dibina selepas kedatangan Islam di Constantine
Aku dan rakan-rakan melangkah masuk ke dalam Hagia Sophia, di
dalamnya tersimpan 1001 kisah agung yang menggamit memori aku, aku
teringat akan kisah semasa solat jumaat pertama didirikan di sini.
Sultan Fatih merupakan penggerak utama untuk menawan kota Constantine
dan akhirnya diizinkan Allah s.w.t, bagindalah merupakan orang yang
disebut oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dalam hadis, yang
bermaksud:
Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq;
“..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam.
Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik
tentera……”
Hadis nabi yang mashur terpahat di tiang Masjid Hagia Sophia
Aku juga teringatkan kisah Ibn Batutta yang pada ketika itu cuba
memasuki kota Constantine, Ibnu Batutta bercerita ” Penduduk kota ini
membunyikan loceng gereja dengan begitu kuat hingga seluruh cerok
rantau bergegar, ketika sampai di pintu pertama istana raja, kami
mendapati 100 orang lelaki berada di situ, seorang pemimpin yang
berada di atas sebuah pelantar ada bersama-sama dengan mereka, aku
mendengar mereka berkata, “Sarikunu! Sarikunu!” yang bermaksud orang
Islam, mereka melarang kami daripada masuk”.
Melihat akan keindahan Hagia Sophia, perasaan aku bercampur suka
mengenangkan kisah gemilangnya ketika Sultan Fatih memasuki kota ini
dan perasaan sedih menyedarkan aku bahawa Hagia Sophia yang sekarang
ini aku berpijak hanya sebuah Muzium.
“Oh Hagia Sophia, Indahmu dengan Islam”
Selamat Tinggal Hagia Sofia
Masjid Biru berhadapan dengan Hagia Sofia
Tenang. Beginilah keadaan di dalam Masjid Biru
Besar. Salah satu dari tiang utama masjid.
Seorang lelaki sedang berdoa di dalam Masjid Biru
SUBHANALLAH!!!!!!!!!!!!!! indah ya ciptaan allah di bumi TURKI ini..terlalu indah sangat..boleh dijadikan destinasi bulan madu ataupun percutian untuk keluarga tercinta..



















































